Monday, October 19, 2009

Pabila Tiada Idea Untuk Memasak


Nasi Jagung dengan Ayam Paprik beserta Ayam Goreng

Isnin, 19 Oktober 2009, 4.00 p.m. waktu Toronto.

Isnin, hari dimana aku ditugaskan untuk menyediakan makan malam untuk seisi rumahku. Malangnya hari ini, aku ketandusan idea untuk memasak. Ya, memasak memerlukan idea. Tindakan pertamaku, mengeluarkan ayam beku yang tersimpan di dalam fridge. Daging ayam yang beku perlulah dicairkan terlebih dahulu sebelum ianya sesuai untuk dimasak.

Oleh kerana ketandusan idea, aku membuat keputusan untuk mencari resepi dari internet. Resepi pertama yang terlintas di fikiranku, ayam paprik. Belum pun sampai 5 minit melayari internet, aku berjaya menemukan satu resepi ayam paprik. Aku pun segera bergegas ke dapur untuk memasak nasi terlebih dahulu.

Kebiasaannya, lauk paprik ini dihidangkan bersama nasi goreng. Tetapi, kerana kemalasan diriku ini untuk menggoreng nasi, aku membuat keputusan untuk memasak nasi jagung yang mana resepi asalnya datang dari rakan serumahku, Fazry. Resepi ini senang sahaja, masak nasi seperti biasa cuma campurkan jagung, daun limau purut, halia, dan sedikit garam bersama beras yang hendak dimasak.

Dan untuk lauk paprik tadi, tidak pula aku tiru bulat-bulat resepi asalnya. Aku ubah suai sedikit resepi itu mengikut bahan-bahan masakan yang ada di rumah. Hasilnya boleh dilihat dalam gambar diatas. Rasanya pula, bagiku tiada cacat-celanya walaupun tidaklah seenak masakan ibu ataupun masakan di restoran. Kepada rakan-rakan serumahku, selamat menikmati masakanku, kalau kurang sedap, tak payah makan, hahaha.

Saturday, October 10, 2009

Cerita Yang Belum Diceritakan 1 Part 1

1 September 2009, 0730, waktu Malaysia.

Aku memulakan perjalanan dari rumahku menuju ke Bandaraya Johor Bahru. Bersama menemaniku ketika itu, ibuku dan abahku. Walaubagaimmanpun, abahku menemaniku sehingga tiba di UTM sahaja. Dia bekerja di hari itu, Selasa.

1 September 2009, 0900, waktu Malaysia.

Aku, bersama ibuku, tiba di Bandaraya Johor Bahru. Niat ibuku, mencari parking di kawasan CIQ Johor Bahru supaya dia dapat menemaniku hingga ke kawasan pintu keluar Malaysia.

Namun, kami tersasar. Ibuku memandu terus ke Tambak Johor. Silapku juga kerana meyakinkan ibuku agar mengambil jalan itu.

Setiba di Imigresen Johor Bahru, aku berkata kepada pegawai yang menjaga pintu keluar Malaysia itu,
"Minta maaf encik, kami tersalah jalan. Kat mana kami boleh U-turn? Kalau kene masuk Singapura, mak saya takda passport."

Jawab pegawai itu,
"Takpalah, encik terus je dulu. Nanti kat depan tu, sebelum sampai tambak, ada tempat U-turn"

Aku dan ibuku beredar. Kami keluar dari kawasan CIQ. Aku berkata,
"Mana U-turn-nya ni mak?"

"Entah la, depan lagi kot",
balas ibuku.

Perjalanan diteruskan. Kami tiba di Tambak Johor. Tiada sebarang tempat membuat pusingan-balik kami temui. Akhirnya, kami tiba di pintu masuk Singapura. Kami berhenti di pintu pemeriksaan.

"Minta maaf encik. Kami mencari U-turn tadi. Tapi tak jumpa. Saya memang nak masuk Singapore. Tapi mak saya tak boleh. Dia takda passport",
beritahuku kepada pegawai penjaga pintu masuk itu.

Pegawai itu menjawab,
"Takpa. You terus dulu. You ikut pegawai escort kita. Nanti depan, pergi pejabat imigresen"

Setibanya kami di pejabat Imigresen Singapura, aku diberikan kebenaran untuk terus memasuki Singapura manakala ibuku di-escort untuk berpatah balik.

Beberapa ketika setelah ibuku beredar, aku menyedari yang begku tertinggal di dalam kereta. Aku lantas menelefon ibuku dan berkata,
"Mak, beg tertinggal. Cakap la kat orang tu, mak nak kena bagi beg tu"

Beberapa minit selepas itu, ibuku tiba dan menyerahkan beg itu kepadaku.

Aku meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi. Ibuku terus pulang ke rumah. Aku mengambil bas ke stesen MRT Kranji. Dari stesen itu, aku terus menaiki MRT menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.

1 September 2009, 1100, waktu Singapura.

Aku tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi. Flight-ku pukul 1.30 petang. Kira-kira jam 1.00 petang, setelah segala urusan check-in selesai, aku masuk ke dalam pesawat dan mengambil tempat duduk. Tepat jam 1.30 petang, pesawat bergerak dan terbang meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.

Sunday, October 4, 2009

Malam Itu Di Toronto 1


Ya... Akhirnya aku membuat keputusan untuk turut serta memeriahkan lagi sambutan Nuit Blanche yang dianjurkan oleh Scotiabank, bertempat di sekitar bandaraya Toronto.

Sebetulnya, jemputan awal telah diperoleh malalui Facebook, namun pada mulanya terasa begitu malas diri ini untuk menyaksikannya. Terfikir juga, apakah faedahnya menyaksikan sambutan ini, sehinggakan aku yang pada mulanya diajak oleh rakan sebilikku, Afiq, untuk menyaksikan sambutan ini bersamanya, menolak ajakannya.

Namun, kemeriahan yang dirasa menyebabkan aku teringin untuk mengetahui apakah yang sebenarnya yang disambut pada malam itu. Ajakan rakan serumahku, Atif, beberapa ketika kemudian menambahkan lagi semangatku untuk keluar seketika menunjau-ninjau sambutan itu.

Tepat jam 2.00 pagi, aku keluar bersama atif, menuju ke Dundas Square, tempat yang mana kami agak sebagai tempat dimana sambutan utama diadakan. Namun di sana, yang ada hanyalah khemah-khemah penganjur dimana kami boleh mendapatkan maklumat mengenai acara yang diadakan.

Tanpa menyinggah di mana-mana khemah, kami menukar haluan, menyusuri Yonge Street ke arah selatan. Setibanya di persimpangan Queen Street, kami bergerak pula ke arah barat sehinggalah kami tiba di Old City Hall. Salah satu acara Nuit Blance ini diadakan di sini. Di sini kamii mengambil peluang untuk bergambar sebelum meneruskan perjalanan ke Toronto City Hall dan di situ gambar diatas diambil.

Setelah selesai bergambar, kami mengambil keputusan untuk pulang memandangkan waktu ketika itu sudah hampir 2.45 pagi. Namun sebelum pulang, kami sempat singgah di Tim Horton dan menikmati French Vanilla.

Secara keseluruhannya, acara Nuit Blance ini tidaklah begitu menarik. Walaubagaimanpun, bilangan pengunjung tempatan yang terdiri dari golongan muda adalah begitu ramai. Mungkin selera mereka berbeza dengan selera kita.


p/s: Thanks to atif for the photo.

Friday, October 2, 2009

Selamat Datang

Setelah beberapa ketika berada dalam dilema samada mahu menulis blog atau tidak, akhirnya, pada hari ini, dilema itu berganti dengan satu keputusan yang berdasarkan satu prinsip - sekurang-kurangnya ada usaha untuk mencuba.
  • Sesungguhnya suatu kejayaan tidak akan tercapai tanpa ada sebarang usaha untuk memperolehnya.
  • Sesungguhnya suatu destinasi, samada jauh mahupun dekat, tidak akan terjejak tanpa langkah pertama.
  • Sesungguhnya suatu masalah tidak akan selesai tanpa ada sebarang tidakan.
Beberapa persoalan telah dinilai dan dipertimbangkan sebelum keputusan ber-blog ini tercapai. Antaranya:
  • Adakah diri ini punyai bakat untuk menulis blog?
  • Adakah diri ini tidak akan terlalai dengan aktivi menulis blog?
  • Adakah diri ini mampu untuk selalu menulis entri di dalam blog ini?
Walaubagaimanapun, berpegang dengan pepatah Melayu, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih, segala persoalan yang timbul sebelum ini telah dianggap sebagai dalih-dalih yang mampu menghilangkan keyakinan diri ini untuk mula menulis blog.

Oleh yang demikian, kepada semua pembaca blog ini, Selamat Datang dan Selamat Membaca diucapkan. Jadikanlah membaca suatu amalan.